Wednesday, 1 May 2013

PRU13: Buatlah Pilihan yang Bijak - Matthew Han

P/s; gambar-gambar saya tambah sendiri
 
1 MEI 2013
http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/taiping-man-narrowly-escapes-being-shot-outside-home/

Ahad, 5 Mei ini merupakan hari penentuan untuk parti-parti politik dan calon yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13, ibu kepada segala pilihan raya.

Tentunya, hidup atau mati dalam arena politik bergantung sepenuhnya kepada hari yang penuh bersejarah ini.

Bagi parti pemerintah, PRU ke-13 ini bakal menjadi penanda aras sejauhmana agenda 1 Malaysia dan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak diterima rakyat.

Lebih genting lagi, ia juga menjadi indikasi kepada momentum PRU ke-14 nanti yang bakal menyaksikan lebih ramai pengundi baharu.

Bagi parti pembangkang pula, ini mungkin merupakan peluang terakhir buat mereka untuk menawan Putrajaya tatkala gelombang kemarahan rakyat dikatakan semakin memuncak.

Di pihak Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pula PRU ke-13 merupakan peluang terakhir buat beliau untuk menduduki kerusi sebagai Perdana Menteri negara mahupun juga perjuangan politik beliau.

Baru-baru ini ketika ditanya oleh wartawan apakah perancangan beliau jika hasrat PR menawan Putrajaya gagal Anwar berkata, beliau akan memberikan tumpuan sebagai pensyarah di universiti.

Pastinya, cabaran terbesar kini untuk pembangkang ialah bagaimana mereka boleh bergerak sebagai sebuah unit yang utuh tanpa kehadiran Anwar jika itulah keputusan yang diambil bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Sebaliknya, jika pakatan pembangkang mampu mengatasi krisis demi krisis tanpa Anwar, maka pakatan pembangkang berkemungkinan boleh berbangga dan memecahkan dakwaan musuh mereka bahawa PR tidak boleh berfungsi tanpa Anwar.

Pasca PRU 13 juga memberi indikasi sejauhmanakah pengaruh pembangkang dan kehadiran sistem dwiparti benar-benar sudah bertapak dalam arena politik Negara.



Tempoh 100 hari pertama akan datang bakal menjadi faktor penentu kepada kemampuan pihak yang akan memerintah negara ini. Seandainya masalah demi masalah yang berlaku dapat diselesaikan dengan baik, maka pihak berkenaan boleh menarik nafas lega dan boleh mengukuhkan kedudukan mereka selepas itu.

Namun jika keputusan PRU 13 adalah seimbang dan sama rata, maka kita boleh menjangkakan situasi politik negara akan terus bergolak seperti mana yang berlaku sepanjang lima tahun yang sudah.

Malah lebih mendukacitakan, senario yang mana parti-parti politik terus serang-menyerang antara satu sama lain akan menjadi satu pemandangan biasa sehinggalah satu pihak menyerah.

Tetapi, apakah ini yang diperlukan oleh negara? Dimanakah sikap kebertanggungjawaban pemimpin negara terhadap perasaan dan keperluan rakyat kita? Apakah mandat yang diberikan oleh rakyat pada PRU boleh diperlekehkan sebegini rupa?

Sepanjang 11 hari berkempen, segala macam keburukan dan belang sebenar mula dijelmakan oleh parti-parti bertanding. Elemen sabotaj oleh pemimpin yang tidak dicalonkan, bilik gerakan parti diserang… semuanya tidak melambangkan satu budaya yang sihat.

Agak menyedihkan bahawa budaya politik sihat masih belum mendapat tempat dalam kalangan parti dan pemimpin yang bertanding. Sebaliknya elemen-elemen negatif begini menjadi ikutan seolah-olah ia dihalalkan.

Oleh itu, kepada parti-parti politik dan calon yang bertanding, janganlah terbawa-bawa dengan elemen yang kurang baik. Bertandinglah secara terhormat dan bersikap profesional. Buktikan kepada masyarakat di luar sana bahawa masih ada pemimpin politik yang berupaya mempamerkan semangat kesetiakawanan dalam pertandingan.


Calon-calon DUN Batu Gajah BN dan PAS Kempen Bersama
 
Jika rakyat menolak seseorang calon itu, maka terimalah dengan hati yang lapang. Bermakna mereka harus berusaha dengan lebih gigih untuk meraih sokongan mereka di masa akan datang.

Usah melihat kekalahan itu sebagai titik noktah kepada perjuangan mereka. Sebaliknya, gunakan kekecewaan tersebut sebagai inspirasi untuk bangkit dan tidak mengulangi kesilapan masa lalu.

Dan kepada pihak yang menang pula, jangan terlalu angkuh dengan kejayaan sedia ada. Sesungguhnya, kejayaan yang dimiliki boleh hilang dalam sekelip mata jika mereka alpa. Kejayaan yang dicapai itu seharusnya menjadi penyuntik semangat untuk terus memberikan khidmat terbaik kepada rakyat tanpa mengira musim.

Ingatlah pesanan ini dan kepada semua parti politik dan calon yang bertanding pada PRU 13 Ahad ini, selamat maju jaya.

Kepada rakyat Malaysia, selamat menunaikan tanggungjawab anda dan buat pilihan yang bijak!

No comments:

Post a Comment